17 February 2020

POSISI TERBAIK SEMASA TIDUR BAGI WANITA HAMIL

Ibu hamil akan mengalami situasi sukar untuk tidur kerana perut semakin membesar. Rasa tidak selesa untuk tidur. Bertukar posisi baring ke kanan dan ke kiri, tetapi masih tidak boleh melelapkan mata

Berat ujian wanita yang hamil. 

Ketika hamil, banyak perkara yang harus difikirkan. Bukan setakat keselesaan untuk tidur, tetapi juga keselamatan bayi dalam rahem. 

Ramai para ibu tidak menyedari bahawa posisi mereka tidur boleh mengancam keselamatan bayi dalam rahem. Apabila rahem semakin membesar, ia mengambil ruang abdomen yang akan mengganggu pernafasan, penghadaman, kelancaran membuang air besar dan air kecil dan mungkin memperlahankan peredaran darah.


Bayangkan seorang wanita berbaring terlentang, ibaratkan seguni beras yang mempunyai berat 2-3 kg diletakkan di bahagian abdomen. Tentu rasa senak dan sukar bernafas jika tidur dalam posisi telentang. 

Posisi terlentang juga akan menyebabkan rahem memberikan tekanan fizikal pada saluran darah besar (aorta dan inferior vena cava) lalu menghalang peredaran darah ke jantung seterusnya mengganggu bekalan oksigen dan nutrient pada bayi dalam rahem.




Posisi Mengiring Adalah Posisi Terbaik Bagi Ibu Hamil

Ramai pakar perubatan berpendapat bahawa posisi terbaik untuk seorang wanita hamil tidur ialah posisi mengiring (sleep on side). Seorang wanita boleh mengiring ke sebelah kanan atau kiri tetapi saya lebih suka jika wanita tidur mengiring ke sebelah kanan kerana ia lebih menepati sunnah yang Rasulullah s.a.w ditunjukkan.

Tidur mengiring tidak mengganggu peredaran darah, dan akan menyebabkan lebih banyak nutrien dan oksigen dihantar pada bayi dalam rahem. Selain dari mengiring, lipatkan peha dan lutut seperti posisi bayi dan letakkan bantal di antara kedua peha.

Bagi ibu hamil yang mengalami sakit belakang, bantal boleh diletakkan di bawah perut di sebelah belakang. Bagi mengurangkan rasa loya dan muntah akibat reflux gastritis, bolehlah meninggikan bahagian dada dengan meletakkan bantal di bahagian dada.

Ibu hamil yang biasa tidur melentang, tentu posisi ini tidak selesa. Boleh tukarkan posisi ke kanan dan kiri untuk mengurangkan ketidakselesaan. Berbaring mengiring sebelah kanan di awal tidur adalah sunnah, tetapi mengekalkannya tidaklah sunnah. 

Cuma kita ditegah untuk tidur tertiarap, lebih-lebih lagi ketika hamil. Sudah tentu apabila semakin mendekati kelahiran dan abdomen semakin membesar, sukar untuk tidur meniarap. Tetapi tabiat ini juga harus dihentikan ketika di awal kehamilan.

Dalam banyak kajian menunjukkan risiko untuk bayi mati dalam rahem (stillbirth) bagi wanita hamil yang tidur mengiring adalah rendah berbanding dengan wanita hamil yang tidur dalam posisi yang lain. 

Kesan posisi meniarap atau terlentang menyebabkan darah yang membawa oksigen dan nutrien tidak sampai kepada bayi dalam rahem dan menyebabkan kematian dalam rahem.

Jadi berhati-hatilah ketika memilih posisi untuk tidur ketika hamil. Semoga Allah mempermudahkan kehamilan wanita yang sabar menghadapi dugaan dalam kehamilan mereka.

Rujukan :

1. “Association between maternal sleep practices and risk of late stillbirth: a case-control study”BMJ 2011; 342. Published 14 June 2011

2. “Rapid Responses to maternal sleep practices and risk of late stillbirth”. Stacey T, Thompson JMD, Ekeroma AJ, Zuccollo JM, McCowan LME BMJ 27 June 2011





No comments:

Post a Comment

Macam Mana Vivix Boleh Membantu Masalah Kesuburan?

Kalau bercakap tentang kesuburan, pastinya melibatkan kaum lelaki dan juga wanita. Kadang-kadang  masalah itu bukan hanya satu pihak je teta...